PENDIDIKAN AWAL SEBELUM KE SEKOLAH
Melihat kanak-kanak berusia tujuh tahun melangkah ke tahun satu
sememangnya mencuit hati dengan aksi dan reaksi pelbagai ragam. Ada yang
terlalu teruja dan sangat gembira dengan alam baru. Sebaliknya ada yang
menangis kerana takut dan tidak mahu berpisah dengan ibu bapa. Bagi mengelak
perasaan takut dan terasa diri ketinggalan adalah menjadi satu kepentingan dan
kewajipan buat ibu bapa hari ini menghantar anak ke pra sekolah atau mana-mana
pusat bimbingan kanak-kanak.
Tidak sukar memilih pusat bimbingan kanak-kanak atau tadika
kerana setiap kawasan perumahan ada banyak tadika atau pra sekolah yang
menawarkan pelbagai konsep pendidikan bagi memenuhi keperluan pembelajaran
semasa.
Bagi kebanyakan ibu bapa ramai yang menganggap prasekolah adalah
tempat untuk anak berseronok dan mempelajari sesuatu yang baru, manakala
sesetengahnya pula berharap prasekolah dapat memberikan satu permulaan yang
baik kepda dunia akademik anak mereka.
Sebenarnya, prasekolah perlu menjadi satu perkara penting iaitu
tempat yang memberi asas kepada pembelajaran untuk masa depan anak. Ini kerana,
kemahiran akademik sangat penting walaupun yang lebih penting ialah sikap dan
kasih sayang yang diberikan sepanjang tempoh belajar. Apapun, bagi kanak-kanak
yang baru mahu mengenal kehidupan, meneroka dunia baru melalui pembelajaran
peringkat awal memberi kesan yang positif kepada anak untuk pembesarannya.
Maka sebab itulah ibu bapa perlu bijak memilih prasekolah yang
mana benar-benar baik untuk anak. Ia bukan saja berdasarkan kepada reputasi
sekolah itu tetapi juga bagaimana sekolah itu mampu memberikan didikan positif
dan pembelajaran yang membina kepada anak.
Contohnya kanak-kanak yang berusia empat hingga enam tahun
dunianya bukan sekadar mewarna kartun, menulis A hingga Z, membilang 1 hingga
10 dan menyanyikan lagu yang mudah tetapi sebenarnya kebolehan mereka
melangkaui apa yang difikirkan oleh orang dewasa
Mereka ini seperti span yang mampu menyerap cecair dengan cepat
pada persekitarannya. Lagipun kajian membuktikan kanak-kanak awal usia ini
mampu membuat campur dan tolak serta menyatakan perhubungan sebab dan akibat
daripada sesuatu perkara.
Mengikut pendapat beberapa pakar pendidik, kanak-kanak awal usia
ini belajar daripada segala apa yang mereka lakukan. Mereka secara
semulajadinya bersifat peka dan gemar meneroka dunia di sekelilingnya.
Kanak-kanak yang menerima sokongan dan galakan yang betul
sepanjang tahun awal tumbesaran mereka akan membentuk peribadi yang lebih baik
dalam dunia persekolahan mereka kelak. Sebab itulah ibu bapa mesti ingat bahawa
setiap kanak-kanak belajar dengan cara dan kecepatan yang berbeza. Pendekatan
pengajaran merentasi sempadan mampu melahirkan kreativiti dan potensi atau
sebaliknya menumpukan minat anak untuk belajar.
Oleh itu, adalah sangat penting anda memilih prasekolah yang
menerapkan metodologi lebih fleksibel dan menyediakan persekitaran yang
mengalakkan di samping perkembangan pemikiran holistik.
Sumber Maklumat :
pmr.penerangan.gov.my
No comments:
Post a Comment